29 January, 2010

SELAWAT KE ATAS NABI

Selawat ke atas Nabi SAW adalah perintah wajib daripada Allah SWT. Selawat ke atas Nabi-nabi yang lain tidak diperintah, cuma adabnya apabila kita menyebut nama mana-mana Nabi atau Rasul adalah elok kalau diucapkan selamat atau sejahtera ('Alaihi al-Salam).

Manakala apabila kita mendengar orang menyebut Rasulullah atau apa-apa nama baginda hendaklah berselawat ke atas baginda (Sallallahu alaihi wa sallam). Bagi mereka yang tidak mengendahkan selawat ke atas baginda digolongkan dalam golongan yang bakhil dan rugi serta macam-macam ancaman lain.

Maka ada beberapa perkara yang perlu diketahui umum kenapa wajib kita berselawat ke atas Nabi SAW berbanding Nabi-Nabi yang lain.

1- Apabila seseorang itu berselawat ke atas Rasulullah SAW kerana menurut perintah Allah SWT sedang Allah juga berselawat ke atas baginda maka selawat Allah SWT bermaksud pujian dan kemuliaan baginda berbanding Rasul dan Nabi yang lain. Manakala selawat manusia ke atas baginda bermaksud doa supaya Allah SWT mengangkat kedudukan baginda ke tempat yang lebih terpuji.

2- Sebagai mentaati perintah Allah SWT ke atas hamba-hambanya agar berselawat ke atas baginda SAW. Dalam surah al-Ahzab Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SWT); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (al-Ahzab: 56)

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa berterusan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Juga bermaksud kedudukan baginda serta kenikmatan yang diperoleh baginda sama ada di dalam alam barzakh mahupun di dalam syurga adalah sentiasa bertambah dan lebih mulia berbanding dengan Nabi-nabi yang lian.

Sekali gus para ulama berpendapat bahawa Allah SWT hanya berselawat ke atas baginda Rasulullah SAW secara khusus berbanding dengan Nabi-nabi yang lain. Adapun Nabi dan Rasul-rasul yang lain menerima ucapan kesejahteraan dengan ucapan salam tanpa selawat. Di dalam sepotong hadis diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat yang bernama Bashir bin Sa'ad: Kami diperintah Allah agar mengucapkan selawat ke atas kamu wahai Rasulullah, maka bagaimana caranya kami harus mengucapkan selawat itu, lalu baginda diam terlalu lama sehingga ada yang mengharap alangkah baiknya kalu dia tidak bertanya soalan itu kepada baginda. Kemudian barulah baginda bersabda bahawa: " Ya Allah selawatlah atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau telah memberikan selawat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan anugerahi ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau anugerahi Nabi Ibrahim dan ahli keluarga Nabi Ibrahim di dalam alam sekelian, sesungguhnya engkau adalah yang Maha terpuji lagi Maha Mulia. Kemudian ucapkanlah salam sebagaimana yang telah kamu ketahui. (riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasaie, al-Tarmidzhi).

3- Berselawat ke atas Rasulullah SAW adalah wajib berdasarkan ayat di atas. Kewajipan ini ditunaikan melalui solat lima waktu yang menjadi selawat itu wajib dalam setiap tasyahud.

3- Baginda Rasulullah SAW adalah penutup seluruh Anbiya, baginda telah menyempurnakan syariat bagi panduan hidup manusia.

4- Baginda Rasulullah SAW adalah pemilik syafaat di mahsyar, bagi mereka yang taat kepada perintah Allah dan Rasulul-Nya juga memperbanyakkan selawat ke atas baginda akan mendapat syafaat.

5- fadilat selawat yang sangat agung, melalui selawat Allah menjanjikan keampunan, kelapangan, keberkatan, kerahmatan dan banyak lagi kelebihan-kelebihan yang menanti orang yang banyak berselawat.

22 January, 2010

MELAYU PERLU BERSATU ATAS NAMA AGAMA

Muzakarah: Penggunaan Kalimah Allah Sebagai Terjemahan Kepada 'God' Tidak Tepat

KUALA LUMPUR: Muzakarah Pakar, yang disertai tujuh ilmuwan Islam, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini bersetuju bahawa penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan atau ganti nama kepada "God" adalah tidak tepat.

Pengerusi IKIM Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata muzakarah itu merumuskan bahawa terjemahan kalimah Allah sebagai "God" juga menyalahi hakikat sebenar kerana bercanggah dengan konsep Tuhan yang dianjurkan oleh agama Islam di Malaysia.

"Dalam perbincangan ini, kita semua setuju bahawasanya kita perlu menghormati dan menjunjung Perlembagaan Malaysia yang memberikan kebebasan beragama diteruskan dalam suasana aman dan harmoni," katanya pada sidang akhbar selepas muzakarah itu.

Tujuh pakar itu ialah Prof Madya Dr Kamar Oniah Kamaruzzaman dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa; Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin; Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang; anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Mohd Nur Manuty; bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM Dr Mohd Sani Badron dan Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM Md Asham Ahmad.

Muzakarah bertajuk "Terjemahan God Sebagai Allah: Mengenalpasti Punca Permasalahan dan Penyelesaiannya" berlangsung selama lapan jam dari pukul 8.30 pagi, dipengerusikan Ketua Pengarah IKIM Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.

Abdullah berkata muzakarah itu berjaya mencapai matlamat penganjurannya iaitu mengenal pasti punca dan penjelasan latar belakang permasalahan daripada perspektif agama, bahasa, sosial dan undang-undang.

"Muzakarah ini juga dapat menegaskan kefahaman dan konteks penggunaan Allah dalam Al-Quran, memurnikan tafsiran ke atas sumber-sumber hukum Islam berkaitan kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh agama dan budaya selain Islam dan membentuk kesatuan fikiran di kalangan tokoh agama serta pemimpin umat Islam," katanya.

Abdullah berkata pendirian muzakarah itu akan dibawa kepada perhatian kerajaan dan akan dibincangkan dalam siri muzakarah akan datang bertajuk "Mengurus Krisis Antara Agama" anjuran IKIM pada 25 Januari ini.

Beliau berkata muzakarah yang membabitkan semua pemimpin agama serta Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST)bertujuan mengenalpasti krisis, jalan penyelesaian dan mencari persefahaman untuk keharmonian semua kaum di negara ini.

Abdullah berkata IKIM berharap agar semua penganut agama menghormati batas-batas agama masing-masing agar tidak berlaku lagi kekecohan seperti yang berlaku pada masa ini. BERNAMA

21 January, 2010

Ibu pelajar tampar guru

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

INILAH Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di mana seorang guru Matematik ditampar oleh ibu seorang pelajar tingkatan satu kelmarin.


KANGAR - Sesi menjernihkan keadaan antara pihak sekolah dengan penjaga kepada seorang pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini bertukar tegang apabila seorang ibu 'naik angin' dengan menampar seorang guru sekolah itu kelmarin.

Kejadian pukul 10.30 pagi itu berlaku di bilik pengetua sekolah berkenaan selepas ibu pelajar tersebut gagal menahan emosi lalu menampar pipi guru lelaki berusia 26 tahun tersebut.

Difahamkan, sehari sebelum itu, guru Matematik tersebut didakwa telah menampar pelajar terbabit selepas mendapati dia membuat bising di luar kelas sehingga mengganggu pelajar lain.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Abdul Rahman Mohd. Noordin berkata, wanita berusia 40-an tersebut mengetahui mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh anaknya selepas pulang dari sekolah.

19 January, 2010

Cah Keting Bayangan Krisis Kepimpinan Kelantan?

19 Januari, 2010 16:44 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Isu "cah keting" atau cantas mencantas dalam PAS seperti mana diakui oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebenarnya membayangkan kepincangan dalam kepimpinan negeri itu, demikian menurut penganalisis politik.

Menurut mereka, beberapa isu yang timbul sejak kebelakangan ini dilihat cuba menjejaskan kredibiliti Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS.

"Cah keting ini bukannya isu baru. Kemungkinan isu sebenar adalah krisis kepimpinan negeri itu, tentang siapa yang menggantikan Nik Aziz," kata pemerhati politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian kepada Bernama di sini Selasa.

Ketika suhu politik negara stabil, kancah politik Kelantan segar dengan isu-isu baru sejak November lepas bermula dengan isu menantu Nik Aziz, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang dituduh melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajuinya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif PMBK itu terpaksa melepaskan jawatan atas arahan Nik Aziz yang menerima nasihat daripada PAS Pusat berhubung isu terbabit selepas Abdul Ariffahmi disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Isu tajaan haji Nik Aziz oleh sebuah syarikat turut dibangkitkan.

Sivamurugan menyifatkan usaha menjejaskan kredibiliti tokoh PAS itu ada hubung kait dengan wujudnya "puak" dalam PAS selepas dua dekad Kelantan ditadbir parti itu sejak 1990.

"Kelihatan seperti ada puak-puak dalam PAS yang menyokong tradisi dan menentang tradisi serta lebih liberal dan kerana itu ada usaha untuk mengeruhkan keadaan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan isu menantu dan tajaan haji itu merupakan tindakan pihak tertentu untuk merenggangkan hubungan Nik Aziz dengan exco kanan negeri, Datuk Husam Musa, yang menyifatkan Nik Aziz sebagai mentornya.

Husam dikaitkan dengan isu itu kerana kaitannya dengan bekas pegawai perhubungan awam PMBK Syed Azidi Syed Abdul Aziz, pemilik blog Kickdefella, yang bertanggungjawab mendedahkan isu itu kepada umum.

Terbaru, media melaporkan, Kickdefella mendakwa kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian berjuta ringgit kerana membeli projek Kompleks Bazar Tok Guru ekoran berlaku penyelewengan oleh PMBK di bawah pengurusan Abdul Ariffahmi.

Isu terbaru ini menurut Sivamurugan akan memberi liabiliti kepada kerajaan negeri dan mungkin menjelaskan kenapa Nik Aziz menyelitkan dalam doanya minggu lepas supaya tuhan melindungi negeri itu daripada perbuatan cah keting atau cantas mencantas, sekaligus membenarkan berlakunya krisis dalaman parti.

Soal siapa menggantikan Nik Aziz sememangnya menjadi buah mulut di kalangan rakyat Kelantan sama ada tokoh penggantinya seorang ulama sepertimana Nik Aziz atau individu yang lebih liberal.

Bagi Prof Dr Ahmad Atory Hussein, kenyataan Nik Aziz mengenai "cah keting" itu tidak bermakna tokoh politik itu mahu mengalihkan perhatian daripada isu sebenar, sebaliknya menyatakan realiti semasa.

"Ini masalah pentadbiran, bukannya politik," kata pemerhati politik itu.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PAS termasuk timbalan presidennya, Nasharuddin Mat Isa mengakui budaya "cah keting" menular di dalam parti itu kerana terdapat pihak yang tamak kuasa dan pengaruh.

Bagi Sivamurugan, cabaran sebenar PAS Kelantan adalah era pasca Nik Aziz, iaitu bagaimana untuk terus mempertahankan Kelantan.

-- BERNAMA

Nabi Allah di semenanjung Gaza


Ini adalah peta perjalanan nabi-nabi sehingga nabi yang terakhir.

14 January, 2010

KELEMAHAN KERAJAAN

Kali ini pasti dan tegas saya menyalahkan pihak kerajaan. Masalah kebanjiran pendatang asing dari beberapa buah negara seperti China, India, Afrika dan banyak lagi.

Jika suatu masa dahulu dikatakan 50,000 wanita dari China hilang di Malaysia dan berita ini hilang begitu sahaja, mungkin dianggap tidak serius.

Yang terbaru, 40,000 rakyat India pula hilang di Malaysia. Itu belum kita kira berapa orang negro hilang?

Nak cari 40,000 rakyat India yang hilang di Malaysia, tidaklah susah, pihak imigresen perlu ke kedai mamak...kedai mamak tidak pula susah nak cari...merata tempat ada kedai mamak...buka 24 jam...

Tapi yang menjadi masalahnya kenapa dah sampai 40,000 baru nak cari?

Selama ini imigresen tidak buat kerje ke? Imigresen buta ke sampai tak kenal yang mana satu pelancong yang mana satu orang yang nak masuk ke Malaysia untuk bekerja?

Jabatan imigresen adalah agensi kerajaan yang memerintah, oleh itu pihak kerajaan perlu bertanggungjawab tentang perkara ini.

Hebat sangat ke rakyat India, sampai boleh duduk dalam negara ini tanpa permit.

Kalau pergi tanya orang imigresen, pasti mereka akan ada alasan untuk menyatakan mereka tidak bersalah.

Seperti yang kita sedia maklum pendatang2 ini menyalahkan kemudahan visa waktu ketibaan atau (VOA).

Jika ini menjadi masalah kenapa tidak dihapuskan sahaja VOA itu
.

Nak tunggu sampai bila...nak tunggu sampai pendatang-pendatang ini memohon kerakyatan secara jus soli...

Masalah besar yang saya lihat ialah rakyat negara ini sendiri, mereka seperti tidak kisah dengan kebanjiran pendatang asing ini...

jika kita semua ada semangat patriotik pastinya perkara seperti ini akan mudah diselesaikan...

Kita perlu takut perkara ini...diandaikan 40,000 orang India yang hilang itu adalah tentera negara India yang dihantar untuk menjajah negara ini, bagaimana?


08 January, 2010

PKR AKAN IKUT JEJAK S46?


Apa sudah jadi, orang kuat dan rapat dengan Anuar Al-JuboQ ramai yang menjauhkan diri dari beliau. Terbaru setiausaha agung PKR, Datuk Salehuddin meletak jawatan.

Adakah selepas ini presiden PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail pula akan meletak jawatan? Perkara seperti ini tidak mustahil akan berlaku. Kerana PKR bukanlah parti yang ikhlas dalam perjuangan untuk agama, bangsa dan negara. PKR ditubuhkan hanya untuk Anuar sahaja.

Pejuang-pejuang yang ikhlas berjuang untuk agama, bangsa dan negara akan rasa tertipu dengan mainan politik Anuar ini. Tetapi sayangnya mereka lambat sedar dan lambat bertemu jalan pulang.

Saya tidak terkejut jika PKR dibubarkan pada suatu hari kelak. Hal ini kerana kebanyakan parti politik yang ditubuhkan atas sebab kecewa dengan UMNO tidak kekal lama.

Setakat hari ini, hanya PAS sahaja yang masih kekal di luar UMNO. PAS ditubuhkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang kecewa. British pula memudahkan penubuhan PAS hanya untuk mengimbangkan kekuatan UMNO dan secara tidak langsung bertujuan untuk memacah belahkan kekuatan bangsa Melayu Islam.

Parti Melayu Semangat 46 atau ringkasannya S46 merupakan sebuah parti politik serpihan UMNO. S46 ditubuhkan pada tahun 1988 selepas kekalahan Ku Li menentang Tun Dr.Mahathir untuk jawatan presiden parti UMNO.

Tetapi akhirnya parti ini juga dibubarkan. Parti ini dibubarkan pada tahun 1996, Ku Li kembali kepada UMNO dan beberapa pemimpin S46 pun kembali kepada UMNO termasuk Dato' Seri Utama Rais Yatim yang pernah menyatakan jambatan sudah dibakar. Mereka ini kembali atas prinsip perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

Di Parit Buntar masih ada pemimpin S46 yang tidak kembali kepada UMNO dan beliau juga tidak menjadi ahli mana-mana parti politik. Beliau menjadi pemerhati politik yang hebat, iaitu Cikgu Rosli. Beliau sering kali mengeluarkan hujah-hujah dan idea-idea untuk kebaikan parti UMNO dengan cukup berkesan walau pun beliau bukan ahli UMNO.

Oleh itu kemungkinan PKR akan mengikut jejak Parti Melayu Semangat 46 untuk menyertai UMNO demi menyatukan semula bangsa Melayu Islam di bawah satu parti, insyaallah.

01 January, 2010

ALIF LAM LAM HA, JANGAN DILAMBUNG-LAMBUNG

Hakim Mahkamah Tinggi Lau Bee Lan telah membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. Herald-The Catholic Weekly adalah terbitan mingguan gereka Katolik.

Kes ini difailkan oleh ketua paderi Katolik apabila Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan mingguan itu menggunakan perkataan Allah.

Agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan yang mempunyai kedudukan istimewa dalam negara. Untuk itu, adakah ketua paderi Murphy Pakiam sengaja mencabar kes ini di mahkamah tinggi hanya untuk merendah-rendahkan martabat agama Islam itu.

Tidak terfikirkah oleh Lau Bee Lan (Cina)dan Murphy Pakiam,(India) perkara ini akan mengguris hati umat Islam di Malaysia. Adakah mereka ini tidak tahu Rukun Negara dan tidak tahu menghormati perasaan umat Islam.

Adakah umat Islam mampu melihat kalimah alif lam lam ha dicetak disebelah lambang salib. Kemudian kalimah itu diletakkan di merata-rata tempat.


Jika hakim Lau Bee Lan berbangsa Cina dan paderi Murphy Pakiam berbangsa India boleh sependapat dan sekata dalam isu ini. Bagaimana pula dengan bangsa Melayu Islam?

Adakah bangsa Melayu Islam akan bersatu atau berpecah dalam isu ini? Jangan biarkan orang kafir merendah-rendahkan kalimah alif lam lam ha...