15 April, 2012

222 ahli Dewan Rakyat Malaysia

Pada aku pilihanraya umum ke 13 dah sesuai buat sekarang. Tidak perlu tunggu sehingga bulan April 2013.

Rakyat sudah mula rimas kerana setiap kali bangun pagi dok pikir pasal bila nak PRU?

Oleh itu kerajaan yang sedia ada perlu sedar tentang hal ini. Jika dibiarkan lama akan memberi kesan buruk kepada kerajaan kerana melengah-lengahkan perkara yang ditunggu oleh rakyat.

Tetapi yang aku dok pikir lani bukan sangat tentang bila PRU...yang aku dok pikir ialah bagaimana PRU itu akan berlaku.

Buat masa sekarang, calon bagi kerusi parlimen ialah sebanyak 222. Barisan Nasional sudah pasti akan meletakkan calon di semua kerusi parlimen yang dipertandingan di seluruh negara.

Tetapi tidak pada pembangkang, contohnya PAS hanya akan bertanding di 60 kerusi parlimen manakala DAP dan PKR aku tidak pasti.

....akan bersambung

05 April, 2012

JANGAN LANGGAR SEMPADAN AGAMA...


Ini adalah sebahagian daripada titah ucapan Raja Dr. Nazrin Shah Sultan Azlan Shah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama penggal kelima Dewan Negeri ke-12 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Agama Islam mula berakar di negeri-negeri Tanah Melayu sejak kurun keempat belas. Pengiktirafan Islam sebagai agama negara telah diterjemahkan melalui persetujuan yang telah dicapai oleh kaum-kaum dan kumpulan-kumpulan agama yang menghuni Tanah Melayu untuk menerima Perkara 3(1), memaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 3(2) untuk menjamin hak-hak, keistimewaan, kuasa prerogatif Raja-Raja di Negeri-negeri. Islam adalah 'Magna Carta', satu kontrak sosial yang tersirat, dan adalah komponen yang terkandung di dalam Perlembagaan, satu kontrak sosial yang tersurat di negara ini.

Perkara-perkara utama mengenai Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara harfiah. Ia perlu ditafsirkan secara holistik, dikaitkan dengan peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan, demi memastikan, tujuan sebenar peruntukan-peruntukan tersebut tidak dimanipulasikan hingga menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam. Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan dan keistimewaan yang termaktub di dalam Perlembagaan tidak sama sekali digunakan oleh umat Islam untuk bersifat angkuh, sombong dan bongkak terhadap agama lain; tidak juga dijadikan justifikasi oleh barisan pemimpin Islam dan ulama Islam di negara ini untuk bersifat ekstrem, menindas, menghina dan menyerang agama lain atau memusnahkan rumah ibadat warga bukan Islam.

Umat Islam di bumi ini, majoritinya diasuh untuk memahami erti kemuliaan agama dan menghargai kesucian Tuhan. Kerana itu, umat Islam di negara ini, pada lazimnya, menghindarkan diri dari membuat ulasan, teguran atau komentar secara terbuka terhadap amalan atau pegangan kepercayaan agama lain, jauh sekali dari mahu campur tangan atau mengulas secara terbuka terhadap amalan, ritual, acara dan hukum hakam agama lain.

Walaupun memegang amanah sebagai Ketua Agama Islam, Raja Pemerintah masih merujuk kepada ulama dalam perkara berkaitan Islam. Kerana itu, dalam tradisi Kesultanan Perak, seorang ulama dilantik sebagai Orang Besar Istana, bergelar Imam Paduka Tuan untuk menasihatkan Raja Pemerintah tentang perkara-perkara berkaitan Islam. Hari ini, Raja Pemerintah turut merujuk kepada mufti kerajaan, dan mufti kerajaan dalam menyembahkan nasihat dalam perkara-perkara berkaitan hukum, di bantu oleh barisan ulama melalui forum mesyuwarah Jawatankuasa Fatwa.

Kebelakangan ini, garis sempadan menyentuh agama Islam kelihatan mula dilanggar - malah ada di kalangan bukan Islam yang semakin lantang mencabar perkara-perkara berkaitan Islam melalui ungkapan dan kenyataan bernada mempersendakan syariat - memperkecilkan akidah umat Islam. Perkara menyentuh syariat - menyentuh akidah Islam yang disuarakan oleh ulama Islam khusus untuk menasihati umat Islam, kini dipersoalkan - dipertikaikan - diperdebatkan secara terbuka oleh individu bukan Islam.

Perbuatan tersebut, nyata melanggar sempadan, melanggar adat resam beragama secara aman dan damai. Tatasusila menghormati agama lain - tatasusila tidak memperkecilkan agama lain - tatasusila untuk tidak mencampuri urusan agama lain adalah tatasusila yang wajib dipatuhi, selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat tiga hingga ayat enam Surah Al Kaafiruun:

"Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah, Dan aku tidak pernah menyembah apa yang kamu sembah, Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah, Untukmulah agamamu, dan untukkulah agamaku."

Perbuatan melanggar sempadan agama lain secara keterlaluan - secara terbuka, dibimbangkan, berkemungkinan menjadi punca - mencetuskan berlakunya tragedi buruk. Oleh itu perbuatan sedemikian wajib dihentikan dan secara tegas, dicegah dari dibenarkan berlaku

Sumber : Utusan Malaysia