19 January, 2010

Cah Keting Bayangan Krisis Kepimpinan Kelantan?

19 Januari, 2010 16:44 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Isu "cah keting" atau cantas mencantas dalam PAS seperti mana diakui oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebenarnya membayangkan kepincangan dalam kepimpinan negeri itu, demikian menurut penganalisis politik.

Menurut mereka, beberapa isu yang timbul sejak kebelakangan ini dilihat cuba menjejaskan kredibiliti Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS.

"Cah keting ini bukannya isu baru. Kemungkinan isu sebenar adalah krisis kepimpinan negeri itu, tentang siapa yang menggantikan Nik Aziz," kata pemerhati politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian kepada Bernama di sini Selasa.

Ketika suhu politik negara stabil, kancah politik Kelantan segar dengan isu-isu baru sejak November lepas bermula dengan isu menantu Nik Aziz, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang dituduh melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajuinya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif PMBK itu terpaksa melepaskan jawatan atas arahan Nik Aziz yang menerima nasihat daripada PAS Pusat berhubung isu terbabit selepas Abdul Ariffahmi disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Isu tajaan haji Nik Aziz oleh sebuah syarikat turut dibangkitkan.

Sivamurugan menyifatkan usaha menjejaskan kredibiliti tokoh PAS itu ada hubung kait dengan wujudnya "puak" dalam PAS selepas dua dekad Kelantan ditadbir parti itu sejak 1990.

"Kelihatan seperti ada puak-puak dalam PAS yang menyokong tradisi dan menentang tradisi serta lebih liberal dan kerana itu ada usaha untuk mengeruhkan keadaan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan isu menantu dan tajaan haji itu merupakan tindakan pihak tertentu untuk merenggangkan hubungan Nik Aziz dengan exco kanan negeri, Datuk Husam Musa, yang menyifatkan Nik Aziz sebagai mentornya.

Husam dikaitkan dengan isu itu kerana kaitannya dengan bekas pegawai perhubungan awam PMBK Syed Azidi Syed Abdul Aziz, pemilik blog Kickdefella, yang bertanggungjawab mendedahkan isu itu kepada umum.

Terbaru, media melaporkan, Kickdefella mendakwa kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian berjuta ringgit kerana membeli projek Kompleks Bazar Tok Guru ekoran berlaku penyelewengan oleh PMBK di bawah pengurusan Abdul Ariffahmi.

Isu terbaru ini menurut Sivamurugan akan memberi liabiliti kepada kerajaan negeri dan mungkin menjelaskan kenapa Nik Aziz menyelitkan dalam doanya minggu lepas supaya tuhan melindungi negeri itu daripada perbuatan cah keting atau cantas mencantas, sekaligus membenarkan berlakunya krisis dalaman parti.

Soal siapa menggantikan Nik Aziz sememangnya menjadi buah mulut di kalangan rakyat Kelantan sama ada tokoh penggantinya seorang ulama sepertimana Nik Aziz atau individu yang lebih liberal.

Bagi Prof Dr Ahmad Atory Hussein, kenyataan Nik Aziz mengenai "cah keting" itu tidak bermakna tokoh politik itu mahu mengalihkan perhatian daripada isu sebenar, sebaliknya menyatakan realiti semasa.

"Ini masalah pentadbiran, bukannya politik," kata pemerhati politik itu.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PAS termasuk timbalan presidennya, Nasharuddin Mat Isa mengakui budaya "cah keting" menular di dalam parti itu kerana terdapat pihak yang tamak kuasa dan pengaruh.

Bagi Sivamurugan, cabaran sebenar PAS Kelantan adalah era pasca Nik Aziz, iaitu bagaimana untuk terus mempertahankan Kelantan.

-- BERNAMA

No comments: