19 July, 2009

Sejarah berulang

Saya baru selesai membaca buku ‘Merintis Jalan Kepuncak” tulisan Ahmad Boestamam atau nama sebenarnya Abdullah Thani. Buku ini telah memberi banyak maklumat tentang gerakan parti politik berhaluan kiri. Mungkin ramai daripada kita tidak kenal Ahmad Boestamam. Namun begitu buku-buku hasil tulisan beliau banyak terdapat di pusat-pusat pengajian tinggi sebagai bahan rujukan.

'Merintis Jalan Kepuncak’ adalah sebuah buku yang terhasil daripada rencana-rencana beliau yang telah disiarkan dalam surat khabar Berita Minggu.
Buku ini menceritakan bagaimana terjalinnya hubungan antara parti politik Melayu dengan parti politik bukan Melayu. Pada tahun 1947 telah wujud gabungan parti Melayu dengan parti bukan Melayu. Gabungan ini disebut sebagai PUTERA-AMCJA.

PUTERA adalah gabungan parti-parti Melayu berhaluan kiri seperti PKMM, API, AWAS, BATAS dan HIZBUL MUSLIMIN. Manakala AMCJA adalah gabungan parti-parti bukan Melayu iaitu MDU, MIC, PMFTU, Persatuan Bekas Pejuang MPAJA dan Liga Pemuda2 Demokrasi Baru. Mereka ini adalah golongan yang tidak puas hati dengan pembatalan Malayan Union oleh British. PUTERA yang di pimpin oleh Dr. Burhanuddin dan Ahmad Boestamam manakala pemimpin AMCJA terdiri daripada Tan Cheng Lock, Lim Kean Chyu dan John Eber. Pemimpin-pemimpin AMCJA ramai dari kalangan intelektual seperti peguam.

Gabungan ini terjalin dengan baik sehingga melahirkan sebuah perlembagaan yang disebut ’Perlembagaan Rakyat’ pada tahun 1947. Perlembagaan Rakyat sangat progresif dari segi pembentukan negara bangsa Malaya. Konsep sebuah negara Malayan, rakyat berbilang kaum dan hak politik sama rata. Perkara yang besar yang telah diluluskan oleh PUTERA-AMCJA ialah pemberian kerakyatan secara jus soli.

Kewujudan PUTERA-AMCJA telah membuktikan bahawa wujudnya persaingan dalam menduduki arena politik di Tanah Melayu antara golongan kanan (UMNO), kiri dan bukan Melayu yang cuba mendapatkan kuasa politik dan kedudukan tetap dalam politik di Tanah Melayu.
Apa yang menariknya adalah tentang keadaan yang berlaku pada pertengahan 1940-an itu hampir sama dengan keadaan politik sekarang.

Selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke-12, wujud sebuah lagi gabungan parti politik Melayu dengan bukan Melayu iaitu Pakatan Rakyat yang diterajui oleh Anwar Ibrahim. Pakatan Rakyat adalah gabungan PAS, PKR dan DAP.
Pakatan Rakyat bercorak progresif, mereka tidak bersetuju dengan perjuangan UMNO yang cenderong ke arah mempertahankan Ketuanan Melayu serta membela Raja-raja Melayu. Manakala Pakatan Rakyat lebih kepada Ketuanan Rakyat yang bercirikan sebuah negara republik sebagaimana gagasan sebuah parti pembangkang. .

Pilihanraya Umum ke-12 BN kehilangan kuasa di empat buah negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. BN juga hilang penguasaan di Wilayah Persekutuan dan gagal menawan Kelantan. Manakala di Dewan Rakyat, BN tidak memperolehi majoriti 2/3 daripada 222 kerusi yang ada.
Yang menjadi persoalannya, Pakatan Rakyat tidak menunjukkan hala tuju yang jelas. Mereka tidak mendaftarkan diri sebagai sebuah parti politik seperti Barisan Nasional. Hal ini menyebabkan mereka bertanding atas nama parti masing-masing semasa Pilihanraya Kecil. Hal ini mungkin kerana, dalam Pakatan Rakyat terdapat DAP dan PAS yang mempunyai ideologi yang amat berbeza menyebabkan mereka sendiri tidak yakin dengan hubungan tersebut akan kekal lama. Namun begitu mereka tetap duduk bersama hanya untuk mendapatkan lebihan kerusi untuk terus memerintah di beberapa buah negeri dan menjadi pembangkang yang kuat di Dewan Rakyat.

Jika kita berbalik kepada PUTERA-AMCJA. Gabungan ini pun tidak menggunakan satu lambang hanya gabungan nama sahaja. Apa yang jelas dilihat, wujud persamaan sifat pemimpin politik bukan Melayu yang berlaku dalam Pakatan Rakyat dan juga PUTERA-AMCJA.
Pemimpin bukan Melayu, sanggup melakukan apa sahaja untuk menarik minat orang Melayu supaya menyokong mereka. Seperti apa yang diceritakan oleh Ahmad Boestamam, Gerald de Cruz yang mewakili AMCJA berceramah di seluruh pelusok Tanah Melayu. Jika Gerald de Cruz sering memakai songkok, makan tempoyak, jering, petai dan seumpamanya apabila bersama dengan orang Melayu. Pada sekarang pula Nga Kor Meng berkempen dengan membaca ayat al-Quran dan beliau berjaya menarik ramai pendengar Melayu .

Kita perlu sedar, tujuan mereka hanyalah untuk mendapatkan sokongan orang Melayu. Mereka ini adalah ahli politik yang pandai bermain dengan emosi sasaran. Mereka tahu bahawa orang Melayu boleh didekati dengan mudah jika berjaya menyentuh emosi mereka. Begitu juga dengan apa yang berlaku kepada Anwar Ibrahim pada tahun 1999. Ada dua emosi yang dimainkan oleh pengikut setia Anwar Ibrahim dan pembangkang. Emosi sedih dengan apa yang terjadi kepada Anwar Ibrahim dan emosi marah kepada Tun Dr. Mahadhir dan pemimpim- pemimpin UMNO kerana menyebabkan Anwar dipenjarakan. Menyebabkan pada Pilihanraya Umum ke-10 pengundi Melayu tidak memberi undi kepada BN.

Tetapi sebaliknya, pengundi bukan Melayu tidak terpengaruh dengan mainan emosi ini. Orang bukan Melayu tetap memberi undi kepada BN dan menyokong kerajaan Dr. Mahadhir. Bagi mereka kerajaan BN telah berjaya menyelamatkan ekonomi negara dari terus hancur akibat mainan spekulasi mata wang pada ketika itu. Kesan daripada itu BN kekal dengan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat. Tetapi orang Melayu tidak sedar bahawa pada ketika ahli parlimen berbangsa Melayu berkurangan dalam Dewan Rakyat. Akibatnya berlaku beberapa tuntutan daripada NGO bukan Melayu seperti Suqui yang menuntut hak bangsa mereka kepada kerajaan pada masa itu.

Suqui menghantar memprandum 17 perkara kepada kerajaan. Kerajaan terpaksa membuka peluang kepada pelajar bukan Melayu untuk belajar di Maktab Rendah Sains Mara sebanyak 10 peratus. Beberapa tuntutan bukan Melayu yang selama ini tidak diluluskan telah diluluskan. Begitulah yang akan berlaku apabila strategi politik berjaya dimainkan pihak tertentu. Orang lain yang dapat faedahnya.

Pada Pilihanraya Umum ke-12 senaraio berbeza lagi, pembangkang berkempen agar rakyat tidak lagi mengundi BN. Cara kempen mereka amat mudah iaitu ’undi apa sahaja lambang kecuali lambang dacing (BN)’. Jika kita lihat pada masa itu, masyarakat Cina dan India yang membina pondok-pondok panas untuk PAS, membawa bendera PAS, menjadi ahli kelab penyokong PAS dan sebagainya.
Jika kaedah berkempen sebegini masih digunakan oleh pihak pembangkang pada Pilihanraya Umum ke-13 akan datang, tidak mustahil kerajaan Barisan Nasional sedia ada akan hilang kuasa di Dewan Rakyat. Maka berlakulah peralihan kuasa pemerintahan di negara kita berdasarkan penguasaan kerusi di Dewan Rakyat. Pada PRU ke-13 jumlah kerusi Dewan Rakyat masih tetap 222 kerusi. Oleh itu pihak pembangkang hanya perlu memperolehi 112 kerusi daripada 222 untuk menubuhkan kerajaan baru.

Oleh demikian, apa yang boleh diperkatakan disini adalah orang Melayu semenjak sebelum merdeka hingga kini tidak konsisten dalam menentukan hala tuju bangsa. Berbanding bukan Melayu masih kekal dengan agenda yang sama. Mereka sanggup menjadi apa sahaja dan beralih, memberi sokongan kepada mana-mana pihak yang boleh memberi perlindungan terhadap identiti, budaya, pendidikan dan ekonomi mereka. Contohnya pada tahun 1947 mereka menyokong gabungan PUTERA-AMCJA menentang UMNO dan orang yang sama juga menyokong bergabung dengan UMNO dalam PERIKATAN.

Kesimpulannya pengundi bukan Melayu mempunyai hala tuju dan matlamat dalam politik sebelum merdeka hingga kini, tetapi bagaimana dengan orang Melayu? Perkara ini perlu direnungkan oleh bangsa Melayu-Islam.

No comments: