26 August, 2009

BN akan tewas pada pilihan raya umum ke-13

Barisan Nasional akan tewas pada pilihan raya umum ke-13.

Pilihan raya kecil Permatang Pasir menjelaskan siapa BN yang sebenar.

Calon BN tewas kepada calon Pas yang pernah tewas dalam enam pilihan raya. Kemenangan calon Pas menunjukkan barisan pembangkang bukan calang-calang lawan. Mereka menang dalam tujuh pilihanraya kecil yang berlaku dalam tempoh 18 bulan selepas pilihan raya umum ke-12.

Manakala di Permatang Pasir menjelaskan kemampuan sebenar BN. Barisan Nasional tidak sehebat barisan pembangkang. BN tidak bersatu seperti barisan pembangkang.

Walau pun calon Pas yang bertanding, seluruh kepimpinan dan ahli pembangkang bersatu. Walaupun kita sedia maklum mereka menghadapi beberapa isu yang boleh menunjukkan hubungan mereka tidak sehaluan.

Tidak seperti Barisan Nasional, kurang penglibatan parti-parti komponen dalam berkempen. Hanya ahli-ahli UMNO sahaja yang berhempas pulas menegakkan benang yang sudah basah. Hal ini berkaitan dengan faktor calon BN itu sendiri yang menghadapi beberapa masalah rekod peribadi selain pembatalan sijil peguam sivil dan terbongkarnya masalah perkahwinan kedua beliau.

BN seperti sengaja mencari kekalahan. Sedangkan saya pasti BN tidak bodoh meletakkan calon yang bermasalah. BN mempunyai rekod memilih atau membuat saringan yang baik dalam memilih seseorang calon pilihanraya. Tetapi di Permatang Pasir semua ini seperti tidak berlaku. Apa sudah jadi dengan perisik BN?

BN perlu memperbaiki kaedah memilih seseorang calon untuk mewakili parti. Jika hal ini tidak diperbaiki saya pasti BN akan tewas dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Selain masalah dalam memilih calon saya melihat BN juga mempunyai masalah dalaman, parti UMNO terutamanya. Masalah dalaman ini tidak lagi diperingkat atasan tetapi berlaku berlaku di peringkat bahagian dan cawangan. Hal ini bukan sahaja di Permatang Pasir tetapi di sebahagian besar bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara. Oleh itu saya tidak hairan jika berlaku lagi pilihanraya kecil pembangkang akan menang.

Pucuk pimpinan tertinggi UMNO setakat ini berada di saf yang mantap, bekerja dengan kuat tanpa menoleh kebelakang. Presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden serta seluruh ahli majlis tertinggi UMNO telah menunjukkan yang mereka mahu melakukan perubahanterhadap parti. Ketua penerangan UMNO yang baru telah memberi komitmen yang tinggi dengan kerjanya.

Tetapi perubahan corak bekerja untuk parti ini tidak sampai ke peringkat bahagian dan cawangan UMNO diseluruh negara.

Masih terdapat ketua-ketua UMNO bahagian yang sudah terlalu lama memegang jawatan. Malah ada yang hampir 4 atau 5 penggal. Jika mereka ini tidak berubah apatah lagi ketua-ketua cawangan di peringkat cawangan.

Ketua UMNO bahagian juga memainkan peranan dalam memilih calon mengikut citarasa beliau. Bukan berdasarkan citarasa pengundi, ini salah satu faktor menyebabkan kekalahan kepada calon BN.

Jika ini semua masih belum berubah saya yakin BN akan terus tewas dalam mana-mana pilihan raya sekali pun pilihanraya umum ke-13.

No comments: