09 July, 2012

Orang Melayu Islam perlu bersatu.

            Pemimpin politik Melayu dilihat terlalu berlembut dengan tuntutan kaum bukan Melayu. Isu guru bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan kelulusan pengiktirafan 70 kursus di Kolej Tuanku Abdul Rahman. Tuntutan terbaru Dong Zong untuk menyamatarafkan bahasa Mandarin (bahasa Cina) dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Apakah tuntutan ini juga akan diluluskan oleh pemimpin politik berbangsa Melayu?

Tuntutan Dong Zong sama seperti agenda DAP dan beberapa NGO Cina yang lain. Kaum Cina amat bersatu dalam  memartabatkan budaya dan bahasa mereka. Mereka bijak mengambil peluang ketika parti-parti politik Melayu memerlukan undi pengundi kaum Cina. Kaum Cina dalam erti kata sebenar sedang melakukan proses jual mahal. Mereka telah menunjukkan kekuatan bersatu yang mereka ada. Jika mana-mana parti politik tidak mengikut dan bersetuju dengan permintaan mereka, maka mereka akan menolak parti tersebut seperti yang berlaku pada Barisan Nasional dalam beberapa pilihanraya kecil yang lepas.

UMNO sebagai parti yang masih berprinsip untuk mempertahankan kelangsungan kuasa Melayu Islam di Tanah Melayu sudah terlalu banyak bertolak ansur dengan kaum Cina hanya untuk mendapatkan undi. Dalam hal ini, UMNO tidak boleh dipersalahkan kerana bangsa Melayu tidak lagi bersatu di bawah UMNO. Melayu berpecah kepada beberapa kumpulan seperti Melayu UMNO, PAS, PKR, BEBAS, atas pagar, jemaah tablikh dan orang Melayu yang tidak langsung ambil tahu tentang politik.

Melayu dilihat mempunyai pembawaan masing-masing. Tidak bersatu dalam memperkasakan dan mempertahankan hak-hak kaum mereka. Kaum Melayu perlu bersatu seperti mana mereka dapat bersatu dalam saf-saf solat Jumaat. Melayu perlu membelakangi ideologi atau fahaman politik masing-masing demi masa depan anak cucu cicit Melayu itu sendiri.

Pilihanraya yang akan datang adalah masa yang terbaik untuk orang Melayu Islam   memberi undi kepada Barisan Nasional. Walaupun Barisan Nasional bukanlah sebuah parti yang dapat memuaskan hati dan kehendak Melayu, tetapi hanya inilah satu-satunya parti yang masih berprinsip untuk menjaga kedudukan istimewa orang  Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum bukan Melayu.
Jika orang Melayu memberi undi kepada parti PAS dan PKR, mereka sebenarnya membantu agenda Dong Zong dan DAP yang dimartabatkan di Tanah Melayu. Hal ini kerana PAS adalah penyokong DAP, mereka berada di dalam satu pakatan. Secara tidak langsung, kemenangan calon-calon PAS akan menambah bilangan sokongan penubuhan sebuah kerajaan yang dipelopori oleh DAP sama ada di peringkat negeri atau pusat.

          Seperti mana yang telah berlaku di negeri Perak selepas PRU ke-12, Pakatan Rakyat memerintah dan menteri besar Perak pada ketika itu seorang berbangsa Melayu dari PAS. Undang-undang tubuh negeri Perak telah menetapkan bangsa Melayu beragama Islam sahaja yang layak menjadi menteri besar. Jika tidak ada undang-undang tubuh ini sudah pasti bangsa Cina daripada DAP akan menjadi menteri besar.
Dalam kerajaan campuran tersebut, tujuh orang exco adalah daripada kaum bukan Melayu, enam orang DAP dan seorang PKR. Exco berbangsa Melayu hanya ada tiga orang iaitu dua orang daripada PKR dan seorang daripada PAS.
Dalam erti kata sebenar suara bukan Melayu lebih mendominasi apabila sesuatu keputusan hendak dibuat di dalam mesyuarat exco. Jika hal ini yang berlaku diperingkat dewan rakyat dalam PRU ke-13 akan datang, maka Pakatan Rakyat akan dapat menubuhkan sebuah kerajaan tetapi dikuasai oleh orang bukan Melayu.
Oleh itu, orang Melayu perlu duduk semula memikirkan kemana hala tuju perjuangan bangsa itu. Bilakah Melayu akan bersatu?     

No comments: